By: Naz Rinn Chan

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
[<<  <  1  2  [3]  4  5  6  7  8  9  10  11  12  13  14  15  >  >>]    [Archive]
Saturday, 25-Dec-2010 08:13 Email | Share | | Bookmark
CHEWY GOOEY YUMMY BROWNIES

Double boil cooking choc+butter
Brown sugar+telur+vanilla+choc emulco
Pukul sebati
View all 15 photos...
Salam semua. Ada yang demam bola sepak tak?? Mana tidaknya, sejak Piala AFF Suzuki berlangsung bermacam-macam kejadian yang tak terduga telah berlaku. Kemuncaknya pasti perlawanan akhir antara Malaysia dan Indonesia yang sangat dinanti-nantikan. Rinn macam mana?? Ikut juga perkembangan. Jangan dikata nanti seperti kodok bawah tempurung, sampai tak tau dunia. Hubby dan anak lelaki kami yang sorang tu juga tak ketinggalan menghangatkan suasana. Hubby "sokong" Indon manakala Ken sokong Malaysia. Rinn sokong Malindo ha ha ha..... sekadar nak memeriahkan suasana. Hari-hari sering bertikam lidah nak memenangkan pasukan pilihan masing-masing. Bila Indon kalah 3-0 teruk hubby kena kondem dengan Ken dan sepupu-sepupunya. Orang tua... layan budak-budak untuk bagi diorang seronok. Tak lebih dari itu.

Masa Rinn kecik-kecik dulu memang sangat suka menonton bola. Almaklumlah, zaman tu hanya bola sepak yang selalu ditunggu-tunggu. Sebagai anak Selangor sudah pastinya Rinn sokong Selangor. Sampai setiap nama pemain boleh ingat. Sekali dengan posisi mana mereka bermain. Hebat kan bagi seorang kanak-kanak perempuan?? Tau juga siapa yang membarisi pasukan kebangsaan. Kalau menonton mesti satu keluarga mengadap TV yang masa tu masih hitam putih. TV pulak stail TV peti kayu yang lengkap berkaki. Nostalgia betul !! Lepas tu siap boleh pukul-pukul bantal lagi. Sorak-sorai usah dikira. Bagai nak rak dibuatnya.



Nak ulas banyak-banyak pasal bola sepak ni bukanlah Rinn orangnya. Setakat tau gitu-gitu melalui berita TV dan akhbar. Suka juga menonton kalau pasukan yang bertanding merupakan jaguh-jaguh dunia. Taklah sampai tak kenal bahawa Chelsea dan MU tu pasukan bola. Kalau Malaysia masuk final Rinn tak lepas peluang untuk menonton sama. Sekurang-kurangnya bagi sokongan moral di depan kaca TV. Umum pun sedia maklum pemain-pemain kita tidaklah se"pro" mat salleh mat salleh tu. Sekurang-kurangnya mereka berusaha untuk berada di tahap yang boleh dibanggakan di dalam kelompok mereka sendiri. Kita juga boleh berbangga kerana barisan pemain kita tidak terselit pemain asing. Semuanya anak jati Malaya. Hidup Harimau Malaya !!! Ahhhhh....tiba-tiba jadi sedikit bersemangat !!!




Sedih penangan 5-1 sewaktu menentang Indonesia tempoh hari rasanya sudah terubat dengan kejayaan 3-0 sewaktu final pertama. Mudah-mudahan pasukan kita tak hanyut dibuai keseronokan. Penentuan sebenarnya adalah pada malam ini. Yuk kita sama-sama sokong Harimau Malaya kita. Rasa macam dah lama tak bersorak depan TV. Tengok Datuk Lee Chong Wei and the gang main badminton pun boleh bagi sakit jantung! Tension sungguh ! Masa leading bersoraklah kita, bila ketinggalan mulalah kita yang gabrah dan dalam hati tak sudah-sudah berdoa harap pemain kita dapat bangkit semula.

Masa Sukan Commonwealth dan Sukan Asia baru-baru ni pun sama. Rinn boleh melekat depan TV kerana sukan. Sukalah. Memang itu passion yang ada dalam diri Rinn dari dulu. Agaknya memang tak dapat dipisahkan dari jiwa nurani. Kenangan paling manis adalah masa kejohanan bola jaring peringkat kebangsaan antara universiti masa Rinn kat UM, tahun 1984 kot. Rinn bermain untuk UM dan Zaiton Othman bermain untuk UPM. Dia memanglah tak kenal Rinn sebab Rinn ni orang biasa. Zaiton Othman masa itu merupakan olahragawati Malaysia yang cukup terkenal. Kalau sekarang ni kiranya se gah Datuk Nicol Ann David. Ingat tak?? Alaaah yang terkenal dengan acara olahraga terutamanya acara 100m lari berpagar. Ketika itu Rinn bermain sebagai GA dan Rinn dijaga oleh Zaiton Othman yang bermain sebagai GD. Pasukan mereka hebat. Mereka menang dan menjadi juara antara Universiti ketika itu, kami pun hebat juga walaupun kalah dengan dua mata sebagai naib johannya. Pengalaman indah itu memang cukup sukar untuk dilupakan hingga sekarang.





Ehhh apa pulak kena mengena bola, sukan dan brownies pada entry kali ini. Sebenarnya memang tak ada kaitan langsung. Sekadar dua tiga cerita yang berbeza. Brownies ni dibuat tak lama dulu. Anak-anak kata brownies paling sedap pernah mak diorang buat. Heh heh heh...mak tolong buat saja. Resipi atas ihsan orang lain. Terima kasih lah kepada si penyumbang. Rinn amat menghargai karya anda. Resipi brownies pada kali ini bukanlah sesuatu yang asing bagi penggemar brownies di alam siber ini. Sudah diketahui dan dikenali sejak bertahun lamanya. Cuma Rinn saja yang gatal tak mencubanya sedari awal. Galak nak mencuba yang lain-lain, kononnya nak explore resipi baru. Ada-ada aje kan. Tapi tak kisahlah, bak kata orang putih 'save the best for last'. Haaaaa ni Rinn buat lah macam yang disaran. Memang berbaloi buat brownies ni !! Yang pastinya...ianya tidak akan menjadi bakaran yang terakhir. Akan diulangtayang secepat mungkin. Pada hakikatnya, si Acik Alya pun teringin nak buat sendiri. Masa Rinn buat hari itu pun, sengaja Rinn panggil Alya jadi assistant. Rinnn baca, dia buat, sambil Rinn bagi tunjuk cara. Dia dah tanya-tanya ada tak bahan-bahan lagi? Haaaa...... nak buat sendiri lah gamaknya tuu.. Kalau ada yang teringin nak mencuba, boleh kita kongsi bersama resipinya di bawah ini. Jangan tak percaya anda juga boleh melakukannya sebagaimana Rinn percaya yang Harimau Malaya kita juga mampu melakukannya. Bukan setakat menjadi Jaguh Kampung !! Ehhh... bukan percaya yang Harimau Malaya boleh buat brownies tapi percaya mereka boleh menewaskan Indonesia walaupun mereka akan kembali beraksi di laman sendiri.

Hmmmm...... tapi orang dulu-dulu suka dengan jaguh kampung macam Jalak Lenteng dan Badang...







CHEWY GOOEY YUMMY BROWNIES
Sumber : Mamazieza

BAHAN A:
250gm butter - dipotong kecil-kecil
400gm cooking chocolate - dipotong kecil-kecil

BAHAN B:
6 biji telur
340gm brown sugar
2tsp esen vanilla
20gm chocolate emulco

BAHAN C:
80gm tepung gandum } diayak
60gm cocoa powder }
140gm kacang walnut/pecan/ almond/macadamia (optional)-bakar dan gaul bersama tepung gandum dan serbuk koko

1. Panaskan oven suhu 160 darjah celcius. Sediakan loyang 11"x11" dan alas dgn kertas gris.
2. Double boil BAHAN A (butter dan chocolate) hingga cair , ketepikan biar suam sikit.
3. Pukul BAHAN B (telur, gula, esen dan chocolate emulco) hingga gula hancur - guna hand whisk sahaja.
4. Tuangkan adunan chocolate dan gaul sebati.
5. Masukkan tepung+serbuk koko+kekacang dan digaul lagi hingga rata. Jangan gaul terlalu lama.
6. Tuang ke dalam acuan dan bakar 160 darjah celcius selama 50 minit-1jam (bergantung pada oven).
7. Setelah masak, biarkan dalam acuan hingga sejuk. Lebih sedap kalau disimpan semalaman.
8. Sedap dimakan sama ada begitu saja atau dibubuh ganache. Boleh juga dimakan dengan aiskrim atau sos kastad.

Ternyata memang lebih sedap setelah dibiar semalaman. ..




Friday, 24-Dec-2010 04:18 Email | Share | | Bookmark
BILA A BERDERET-DERET

 
8A'S SCORERS
 
View all 17 photos...
Dah beberapa hari tidur tak lena walaupun mandi tetap basah dan makan tetap kenyang. Rinn ke ? Oh tidak !! Yang tidur tak lena tu si Angah Dania lah. Semakin hampir semakin gementar. Selagi tak dapat keputusan selagi itulah semuanya serba tak kena. Paling dirisaukan subjek Sains. Rata-rata orang bercakap mengenai subjek Sains yang agak sukar dari biasa. Subjek lain pun ada yang susah jugak. Risau tetap risau kerana nasib mungkin menyebelahi kita atau mungkin tidak langsung!!





Jam sepuluh pagi tanggal 24hb Disember 2010, segala-segalanya bakal terjawab. Terjawab dengan indah atau sebaliknya? Syukur ke hadrat Illahi. Ucaptama wakil Tuan Pengetua pun sudah amat enak didengar kerana rekod 100% lulus semua matapelajaran masih dikekalkan, bermaksud tiada pelajar yang gagal. Bayangkanlah kalau ada seorang yang buat slack, fuhhhh....sudah pasti akan ditempelak kerana itu bakal mengubah angka 100% itu. Kegembiraan berganda bila diumumkan bahawa pencapaian 8A turut meningkat. Oh! adakah anak-anak kami turut termasuk di dalam senarai kegembiraan itu? Pada masa itu Angah Dania sudah hilang di celah-celah ratusan pelajar dan ibu-bapa yang memenuhi perut Dewan Tunku Ibrahim.

Sebaik pelajar-pelajar disuruh berbaris mengikut kelas masing-masing untuk mendapatkan slip keputusan, semuanya seakan-akan gugup dan saling tolak-menolak antara satu sama lain. Rasa gementar dan takut jauh mengatasi keyakinan diri yang mungkin mendapat deretan A. Nak tak nak kena ambik jugak kan!! Giliran Angah tiba. Rinn tidak turut berbaris, sebaliknya menunggu di belakang meja guru kelas Angah yang sedang sibuk menyemak senarai dan slip keputusan anak-anak muridnya. Sebaik slip keputusan bertukar tangan Angah Dania masih tidak mahu segera menterbalikkan slip dan melihatnya kerana masih takut. Senyum tawa pun dah macam tak keruan. Namun akhirnya Angah Dania tersenyum dan ketawa kegembiraan walaupun tangan masih terketar-ketar. Rakan sekeliling yang berbaris untuk mengambil slip turut selit-menyelit, sibuk bertanya, "Dapat berapa Dania?". Senyum Angah sudah cukup untuk menjawab segalanya. kelopak mata Rinn pulak yang tanpa disedari tiba-tiba digenangi airmata. Airmata kegembiraan dan kesyukuran. Angah Rinn peluk dan cium. Mujur Angah tak nangis sama. Angah tetap tabah. Dah tak gementar. Tak semena-mena perut jadik lapar pulak katanya!!










Kejayaan Angah Dania ini masih ada sedikit kekurangan kerana tatkala dia melonjak kegembiraan, ayah tidak dapat bersama-sama kerana tuntutan tugas nun di Kepulauan Borneo. Masa nak datang tadi pun Angah melarang Along dan adik-adik dari ikut sama. Tak ape lah Angah, masa Angah hilang dari pandangan tadi mak dah BB kat ayah siap dengan gambar sekali. Kat adik kakak pun dah sms. Ayah pun sedang berjuang kerja bertungkus-lumus demi sesuap nasi. Lebih dari sesuap sebenarnya. Orang kerja sendiri ni tak sama macam orang makan gaji, cukup bulan boleh cucuk dekat "kawanku". Ayah siap tanya nak hadiah apa? Ha ha ha...sampai saat Rinn menulis ini pun Angah Dania masih tak tau nak apa. Sure wish list yang panjang !! Tunggulah bila ayah balik nanti.





Bertuahkan budak-budak sekarang. Ganjaran sentiasa menanti sekiranya prestasi bagus. Zaman Rinn dulu walau cemerlang macam mana pun tak de nya arwah abah nak offer apa-apa? Itu kes Rinn lah. Orang lain yang lebih bertuah dari segi itu mungkin berbeza. Tak cemerlang pelajaran pun tetap dapat ganjaran selalu ha ha ha. Tapi Rinn tak kisah kerana Rinn selalu dapat hadiah daripada pihak sekolah dan cikgu-cikgu yang sentiasa menghargai. Buku-buku rampaian dan alat-tulis memang jarang-jarang beli di kedai. Hadiah-hadiah dari anugerah kecemerlangan sudah cukup untuk meringankan serba-sedikit beban mak abah ketika itu. Orang susah kena lah sedar diri. Rinn masih tetap bersyukur kerana mak abah sudah menyekolahkan kami supaya jadi manusia yang berguna. Sebab itulah Rinn dan dear hubby tak nak anak-anak tercicir dalam pelajaran, sekurang-kurangnya lah kan masih berpelajaran walaupun tak secemerlang mana. Yang lebih penting adalah kemahiran untuk hidup. Ya.. kami pun sedikit sebanyak cuba menerapkan apa-apa sahaja keperluan dan nilai murni untuk anak-anak memahirkan diri mereka dalam menempuh kehidupan seterusnya. Biar boleh dibawak ke tepi, ke tengah, ke depan atau kebelakang, bak kata orang tu.






Apa pun tahniah buat semua pelajar dan warga SMK Ibrahim SG Petani di atas kejayaan cemerlang PMR Tahun 2010. Kami amat berbangga dengan anak-anak bangsa yang bakal mengukir kesempurnaan demi masa depan yang lebih mencabar ini. Agar mereka menjadi manusia yang lebih bertamadun, bukan setakat pandai di atas kertas sahaja. 56% iaitu 130 orang mendapat 8A. Selebihnya juga turut cemerlang dengan agregat masing-masing. Tahniah juga buat ibu-ibu, bapa-bapa, kaum keluarga dan semua yang terlibat dalam memberi sokongan yang tidak berbelah bagi. Kepada rakan-rakan siber yang anak-anak mereka juga turut cemerlang, tahniah diucapkan. Berbaloi segala usaha dan penat lelah walaupun sekadar sokongan moral dan doa yang tak putus-putus ke Hadrat Illahi. Berbaloi jugak segala leteran dan pot-pet pot-pet mulut siibu-ibu yang tak pernah kenal erti penat untuk memastikan anak-anak ini tidak alpa. Berkat kejayaan ini pastinya anak-anak akan lebih mengerti dan menghargai. Syukur Alhamdulillah...buat kesekian kalinya.


Monday, 6-Dec-2010 06:27 Email | Share | | Bookmark
MARBLE VANILLA MUFFIN

 
 
 
View all 10 photos...


Muffin ni dah lama Rinn buat. Tak lama selepas Che Mat Gebu dan Mamafami saling goda-menggoda antara satu sama lain sehingga memaksa mereka mengulang-tayang pembikinan "filem" Marble Vanilla Muffin tuuu ha ha ha ha.... Last-last Rinn pun tergoda sama. Apa-apa yang mudah dan senang pasti cepat menggoda selera... tambahan pulak masa cuti-cuti sekolah ni. Anak-anak sentiasa berlegar-legar di ruang makan dan dapur macam singa lapar !!!

Tak pe lah, tumpang mak singa belum mengaum mak singa pun buatlah muffin.

MARBLE VANILLA MUFFIN
Sumber : Che Mat Gebu

BAHAN-BAHAN :
180 gm mentega
140 gm gula halus
220 gram tepung gandum
2 tsp baking powder
2 biji telur gred A
100 ml susu segar
1 tsp esen vanilla
1 tsp coklat emulco (Rinn guna serbuk koko, secukupnya)

CARA-CARA:

1. Panaskan oven pada suhu 175 darjah celcius. Alas acuan muffin dengan paperliners. Ayak tepung dan baking powder. Ketepikan.
2. Putar mentega dengan gula halus hingga sebati, masukkan telur dan terus memutar hingga putih dan kembang.
3. Perlahankan speed, masukkan tepung berselang seli dengan susu segar. Putar sebati.
4. Akhir sekali masukkan esen vanilla, kacau rata dan bahagikan adunan pada 2 bahagian. Satu warna asal dan satu lagi dicampur dengan coklat emulco (serbuk koko) , kacau rata.
5. Sudukan adunan kosong ke dalam muffin cup tadi, diikuti adunan coklat, isi 3/4 penuh dan lorek menggunakan tooth pick sehingga mendapat kesan marble.
6 Bakar 20 - 25 minit atau hingga kuning keemasan, sejukkan atas rak dawai sepenuhnya sebelum dihidangkan.





Kesan marble muffin ini nampak sikit saja sebab lupa nak lorek dengan lidi lepas lapis melapis. Pembakaran dulang pertama Rinn buat plain manakala yang kedua Rinn tabur dengan coklat rice. Apa-apa pun ok sebenarnya sebab kesedapan asalnya masih tak tergugat.





Muffin ni lebih kepada tekstur kek kerana kita putar mentega dan gula halusnya terlebih dahulu. Sebab tu juga permukaan muffin tidak begitu menggelembung dan merekah. Kalau nak yang gelembung merekah kenalah guna resipi yang menggunakan teknik kacau-kacau atau kaupbalik itu sahaja. Sehingga ketemu lagi, selamat minum petang bersama keluarga..






Wednesday, 1-Dec-2010 11:07 Email | Share | | Bookmark
PORTUGUESE EGG TARTS

 
 
 
View all 23 photos...


Portuguese Egg Tart
Gambar ihsan : Bestvacationdealstoday.com


Suka tat telur yang biasa atau yang ala-ala portugis??? Pada Rinn, yang ala-ala Portugis itu lebih menggoda selera walaupun dari segi rupa paras nampak macam hodoh . Dah lah bentuk mukabuminya tak rata. Ada pulak black spots di sana sini...hmmmm... . Cengkerangnya pulak berlapis-lapis. Walau apa pun, Rinn cuba jugak buat hari tu sebab dah jatuh cinta sejak pertama kali menjamahnya di Bakery King's. Tu lah kan, memang benar bagai dikata, tak kenal maka tak cinta. Ni kes dah jatuh cinta lah ni... Khabarnya Tat Telur Portuguese amat popular di Macao.

Tat telur yang sering kenkawan di internet buat adalah yang menggunakan cengkerang pastri rapuh seperti yang biasa digunakan untuk membuat blueberry tarts dan fruit tartlets. Filling nya juga kelihatan sangat halus dan licin berkilat permukaannya tanpa ada sebarang kecacatan. Faham kan apa yang Rinn maksudkan.




Egg Tart
Gambar ihsan : Aunty Yochana's Blogspot



Untuk tidak menghampakan diri sendiri, Rinn cubalah search dalam internet resipi yang mungkin boleh dicuba untuk membuat Tat Telur Portuguese yang menggunakan cengkerang pastri lapis. Akhirnya berpuas hati dengan resipi yang ini. Kalau kurang faham, boleh lah rujuk pada gambar-gambar step-by-step di thumbnails atas. Rinn pun main hentam keromo aje!!! Sukatan pun ada Rinn adjust sana-sini.


PORTUGUESE EGG TARTS
Sumber : 1001bakingresipes.com

BAHAN-BAHAN:

FLAKY PASTRY:
100gm butter
500gm tepung kek
1/2 tsp garam halus
1 tbs gula caster
240ml air sejuk
200gm butter oil (Rinn guna butter biasa)

FILLING:
80gm gula caster
300gm susu segar
200gm whiping cream
3 biji telur
3 biji kuning telur
1/2 tsp vanilla essence
* Campurkan kesemua bahan dan kacau hingga sebati. Tapis dan ketepikan.

CARA-CARA :

1. Satukan butter dan tepung. Masukkan gula, garam dan air sedikit demi sedikit sambil menguli dengan hujung jari. Kemudian uli hingga menjadi doh yang lembut. Tutup dengan kitchen towel selama 30 minit.
2. Gelek doh sehingga berbentuk segiempat tepat. Letakkan butter oil(atau butter) dan lipat. Gelek dan lipat hingga jadi 3 lapis. Gelek lagi dan lipat menjadi 4 lapis. Balut doh dgn plastik dan simpan dlm petisejuk selama 30 minit.
3.Gelek lagi dan lipat menjadi 4 lapis. Balut doh dgn plastik dan simpan dlm petisejuk selama 30 minit.
4.Keluarkan dan gelek nipis. Potong segiempat sekadar memenuhi acuan tat. Tekan dlm acuan.
5. Tuangkan filling sehingga 90% penuh.
6. Letak dulang pembakar di rak bawah. Bakar pada suhu 220 darjah celcius selama 20 minit sehingga pastri bertukar keperang-perangan dan sehingga permukaan filling terbentuk warna-warna perang gula karamel.
7. Keluarkan dari oven dan sejuk di atas rak dawai.





Rinn cuma menggunakan tart moulds biasa yang agak rendah. Jadi tak dapatlah nak isi banyak fillingnya. Selain daripada cengkerang pastri berlapisnya yang rapuh dan sedap itu, perlu juga kita isikan dengan filling yang agak banyak. Baru terasa kesedapan dan kelemakan fillingnya itu. Bahasa Melayunya kata "isian" tapi rasa macam janggal pulak nak sebut. Mana-mana pun bolehlah janji faham.






Agak gusar jugak sama ada menjadikah cubaan pertama ini. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Cuma itu lah.... cengkerangnya agak rendah jadi fillingnya sikit. Lagi satu pendapat Rinn lah, kalau boleh biarlah cengkerang itu dibuat agak nipis walaupun ianya bersifat "berlapis". Baru terasa bila memakannya...cengkerang nipis isian banyak. Sepatutnya Rinn bakar lebih lama sedikit agar permukaan tat lebih hangus.



Kalau puan-puan tak berapa nak rajin untuk menguli dan menggelek doh berulang kali, bolehlah buat tart shells pastri rapuh biasa tapi kurang ummmphhhh lah Tat Telur Portuguese kita nanti. Apa pun tepuk dada tanya selera. Kalau tepuk dahi....tak jadi lah jawabnya. Tepuk tangan kalau dah siap sempurna yaaa....





InsyaAllah lepas ni akan mengulang buat menggunakan aluminium foil mould yang lebih dalam ataupun mungkin kita boleh terus tekan doh pastri ke dalam muffin tray berlubang yg telah digris. Baru boleh bubuh isian lebih. Oh ya, kalau malas lagi nak main dengan doh mungkin kita boleh cuba guna "KAWAN" puff pastry kita tu kot... . Kalau ada yang lebih mudah buat apa nak menyusahkan diri. Guna saja kemudahan yang ada. Ok guys, ceria-ceria selalu dan jangan lupa menceriakan hari-hari orang-orang yang kita sayangi sama ya.






Tuesday, 30-Nov-2010 05:49 Email | Share | | Bookmark
QUICK 'N' EASY STRUDEL

 
 
 
View all 8 photos...
Ini adalah salah satu hidangan sampingan yang Rinn sempat buat masa seorang kawan lama datang menziarah pada Hari Raya Haji yang lepas. Selain ketupat rendang dan yang sewaktu dengannya, Rinn sajikan jugaklah strudel, muffin dan rojak buah. Benda mudah-mudah bolehlah buat beberapa jenis hidangan sampingan.





QUICK 'N EASY STRUDEL
Sumber : Video.About.Com

BAHAN-BAHAN:
Puff pastry sejuk beku(Jenama KAWAN) secukupnya untuk kulit strudel.


BAHAN A (FRUIT MIXTURE)
1 1/2 cwn buah-buahan segar seperti epal hijau/pear/peach
1/2 tsp serbuk kayu manis
1 tbs gula pasir
1 tbs tepung gandum
1/4 cwn kismis
1/4 cwn kranberi segar/kering

Gaul kesemua bahan di atas.

BAHAN B (SUGAR MIXTURE)
1/4 walnut cincang
2 tbs gula perang halus
1 tbs bread crumbs

Satukan sahaja kesemua bahan di atas.

CARA-CARA:
1. Sediakan puff pastry untuk kulit strudel. Sapukan sugar mixture. Kemudian letakkan fruit mixture di atasnya anggaran boleh dilipat dua kulit strudel itu.
2. Lipat dua puff pastry dan tekan di bahagian hujungnya dengan kemas menggunakan hujung mata garpu.
3. Kelar-kelar bahagian atas puff pastry dan sapukan kuning telur. Susun di dalam loyang pembakar yang telah digriskan.
4. Bakar pada suhu 200 darjah celcius selama 30min atau sehingga permukaan pastry bertukar warna keemasan.


Nak cuba, boleh saja kerana ianya memang sangat kurang leceh daripada nak buat apple-pie. Kalau apple-pie kita kena sediakan fillingnya dulu dan ia mungkin memakan masa sedikit. Untuk strudel ni kita letak terus inti buah-buahannya tanpa perlu memasak terlebih dahulu.




Cara lipatan dan kelaran strudel itu boleh lah ikut citarasa masing-masing. Gaya bebas ya. Segiempat boleh segitiga pun boleh. Malah intinya pun boleh dipelbagai jenis buah-buahannya. Selalunya ikut apa saja stok barang-barang yang ada dalam simpanan kita.






Kalau suka pelbagai buah-buahan kering seperti kranberi, aprikot, epal, kurma china, kiwi dan sebagainya boleh juga dicuba. Dried fruit begini banyak didapati di Tesco. Cuba cari ya..





Baiklah semua, jumpa lagi di kesempatan yang lain .



[<<  <  1  2  [3]  4  5  6  7  8  9  10  11  12  13  14  15  >  >>]    [Archive]

© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net