By: Naz Rinn Chan

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
[<<  <  1  [2]  3  4  5  6  7  8  9  10  11  12  13  14  15  >  >>]    [Archive]
Sunday, 7-Aug-2011 12:04 Email | Share | | Bookmark
RICH NEW YORK CHEESE CAKE

 
 
 
View all 11 photos...

Assalamualaikum dan Salam Ramadhan buat semua. Ini bukan resipi bulan Ramadhan Rinn tapi resipi yang telah lama dicuba tapi belum pernah diupdate ke laman ini. Sungguh tak adil betul Rinn dengan resipi-resipi dan masakan-masakan yang telah dicuba serta dengan gambar-gambar yang telah lama ditangkap tapi diperap. Kalau pekasam pun mesti dah lama membusuk.

Hari ini terasa macam teringin nak menulis semula walaupun mungkin tak ada yang lalu-lintas di sini pun tak mengapalah. Memang lama benar tak buat cheese cake. Masa tu ada beberapa ketul cream cheese yang sikit lagi menghampiri tarikh luput. Jadi sebelum ianya meluput..kita luputkanlah ia menjadi sebiji kek..



RICH NEW YORK CHEESE CAKE
Sumber : Chef Alex Goh

BAHAN-BAHAN:

200g digestive biscuits, dikisar halus
100g mentega cair



750g cream cheese
150g gula caster

30g tepung gandum
1/2 tbsp essen vanilla
1 biji parutan kulit lemon
2 tbsp perahan jus lemon

2 biji telur
1 biji kuning telur sahaja

150g sour cream atau plain yogurt/berperisa lemon

CARA-CARA:

1. Tekan bahagian dasar digestive biscuits ke dalam acuan kek springform 20cm bulat yg telah digris. Simpan dalam petisejuk selama 20 minit.
2. Putar cream cheese dan gula caster hingga gebu. Tambah tepung gandum, essen vanilla, parutan kulit lemon dan jus lemon dan putar hingga sebati.
3. Masukkan pula telur satu persatu hingga habis. Teruskan putar. Akhir sekali, masukkan sour cream atau yogurt.
4. Tuang inti keju ke atas lapisan biskut yg telah disejukkan tadi.
5. Bakar pada suhu 160 darjah celcius di dalam dulang pembakar yg berisi air (cara water bath) selama 60 min - 70 min atau sehingga bahagian tengah kek set.
6. Tutup suis ketuhar dan alihkan dulang berisi air. Renggangkan pintu oven dan biarkan kek sejuk di dalam oven selama 1 jam.
7. Renggangkan kek dari loyang, tutup dan simpan di dalam petisejuk sekurang2nya 5 jam atau semalaman.
8. Keluarkan kek dari acuan pembakar dan potong menggunakan pisau tajam yg telah disiram air panas dan dilap dengan tuala.


Sebagai pilihan dan selera sendiri, Rinn telah menggantikan dasar biskut dengan kek span kopi. Boleh rujuk gambar. Anak-anak lebih suka cheese cake tanpa dasar atau yg dasarnya kek span. Kalau ada dasar biskut, makan jugak tapi dasar biskut itu akan terbuang begitu sahaja. Apa kurang enak sangat ke dasar cheese kek biskut nii..???? Rinn makan, biasa aje.


Monday, 27-Jun-2011 10:34 Email | Share | | Bookmark
SET PAPANCANAI DAN ROLLING PIN (2011)

 
SET PAPANCANAI BISKUT DAN ROLLING PIN
SOLD OUT !!
Kepada yang telah membuat tempahan tetapi tidak re-confirm dan gagal membuat bayaran setelah diberi notis maka tempahan anda akan dibatalkan dan set anda akan dijual kepada pelanggan lain. Harap maklum dan terima kasih. Terima kasih juga kepada semua pelanggan yang sudi berurusan dengan saya. Jumpa lagi di lain musim jualan



Saiz : Panjang 16 inci x Lebar 11 inci x tinggi 2 inci.
Berat : Approx 3kg
Ketinggian terapan cookies : 1cm
Material : Kayu getah dan teflon
Harga : RM100 termasuk caj penghantaran (Semenanjung M'sia sahaja)
Courier Service : Kangaroo Worldwide Express
* Untuk pelanggan dari Sabah, Sarawak, Singapore dan Brunei, caj penghantaran akan dikira mengikut lokasi.
Sila hubungi Rinn di : nazhatulrinna@yahoo.com or tel : 013-4000286









Regards,
Rinn


Monday, 24-Jan-2011 00:18 Email | Share | | Bookmark
SCRAMBLED EGG LOBAK MASIN

 
 
 
View all 18 photos...
Salam penuh kesejahteraan buat semua. Sewaktu Rinn menulis ini suasana di luar rumah agak suram diiringi gerimis. Rinn baru sahaja mengomel sendirian. Dah hampir dua minggu bumi SP ini tidak disirami hujan. Kering dan panas. Nak keluar rumah pun kena fikir tiga empat kali. Sekiranya tiada keperluan mengatasi keinginan, lupakan sahajalah. Lebih elok bersenang-lenang sahaja di rumah. Bersejuk-sejukkan di dalam rumah walaupun tiada hembusan udara sejuk. Putaran angin pun sudah memadai, Alhamdulillah.




Tapi siapalah kita nak mengomel dan komplen panjang-panjang. Semua ini kerja Allah SWT. Dia turunkan hujan ada sebabnya. Dia berkehendakkan panas adalah jugak alasannya. Benar belaka. Kalau asyik hujan sahaja kasihanlah pulak pada mereka yang mencari nafkah dengan kerja-kerja yang berkehendakkan cahaya matahari dan kepanasan. Kalau tidak lambatlah rumah-rumah dan bangunan-bangunan hendak disiapkan lantaran simen yang tidak kering-kering. Nak mengecat pun tak boleh. Si penggerai-penggerai di tepian jalan dan di pasar-pasar malam pun mungkin akan kekurangan pelanggan lantaran orang ramai yang malas nak keluar rumah bila hujan. itu hanya sekadar contoh.





Dari satu segi yang lain pula, kalau panas berterusan tanpa curahan hujan pun kasihan juga kepada petani-petani dan pesawah-pesawah. Mereka sentiasa mengharapkan hujan untuk membasahi tanam-tanaman dan sawah padi mereka agar tidak kering dan layu. Memanglah kaedah moden dan peralatan canggih dah ada sekarang ini tapi itu semua tak mungkin akan menandingi air yang Tuhan ciptakan. Lebih semulajadi. Bukan sahaja tanaman yang tumbuh menyubur bahkan rumput lalang pun sama naik. Kalau biasanya sebulan setengah sekali panggil pakcik mesin rumput untuk potong rumput di belakang rumah tetapi kalau musim hujan, tak sampai sebulan dah kena telefon pakcik mesin rumput . Itu rezeki dia, Tuhan nak bagi awal.




Bila cuaca panas begini apa yang sering terbayang di kepala adalah segala yang dingin dan sejuk. Air terjun dan sungai yang dingin. Laut tak nak sebab lebih panas. Ais kacang, cendol, sirap, soya cincau, ais kerim......aaaaahhhh apa sahaja yang bisa mendinginkan tenggorok ini. Tapi bukan boleh dilayan sangat. Silap haribulan boleh mengundang batuk dan selsema. Peti ais kat rumah ni dah letih agaknya kerana pintunya asyik dibukak katup. Jangan patah engselnya sudahlah !!!!

Bila cerita pasal bersejuk-sejuk dan berdingin-dingin begini teringat pulak Rinn nak upload gambar-gambar aksi di swimming pool sewaktu kami menginap di Al's Hut di Koh Samui masa cuti baru-baru ini. Rinn aje yang tak masuk pool. Bukan tak teringin tapi Rinn ada sedikit fobia dengan air. Takut tenggelam . Setakat rendam-rendam kaki. Lebih suka amik gambar budak-budak ni berendam dalam air. Diorang ni semua reti berenang kecuali Marisa. Marisa pakai pelampung jer.





Cerita pasal berenang ni mengingatkan Rinn semasa belajar di luar negara dulu. University tempat Rinn menuntut ni pelik sikit atau memang begitu kot undang-undangnya Rinn pun tak pasti. Sampai Rinn panik sekejap dibuatnya. Dipendekkan kisah, salah satu syarat untuk graduate daripada University itu adalah penuntutnya mesti lulus ujian berenang jarak 100 meter!!! . Gaya apa pun tak kisah janji tamat 100 meter. Haaaa.....tak panik kawan??? Kita sebagai remaja Melayu perempuan ni manalah ambil berat sangat pasal berenang-berenang ni. Lainlah kalau kita ni dilahirkan dan dibesarkan di rumah bungalow yang ada swimming pool. Kalau remaja lelaki tu mungkinlah jugak. Boleh pergi curi-curi mandi sungai dan lombong sampai pandai berenang.





Nak tak nak kenalah belajar berenang pada masa itu. Di universiti itu pendidikan jasmaninya ikut musim. Jadi pada musim panas wajib ambik sukan renang. Dari situlah Rinn mula memberanikan diri dengan air sampailah boleh berenang dan dapat menamatkan pengajian. Alhamdulillah masa tahun pertama lagi dah lulus ujian renang. Dalam hati pernah berkata, alangkah malunya kalau aku gagal graduate gara-gara aku gagal berenang. Bila dah lulus, berbunga-bungalah hati. Undang-undang yang mulanya Rinn kutuk dan marah akhirnya dah membuatkan Rinn tak takut air. Ada hikmah di sebaliknya kan. Sejak itu sesekali di musim panas adalah jugak merajinkan diri pi bersantai di pusat renang awam. Akan tetapi bila dah pulang ke tanah air lama-kelamaan Rinn dah melupakan terus pasal renang-renang ni. Bila dah beranak-pinak dan ada anak kecik lagilah tak nak turun air. Kena jadik mandur anak kecik main air. Setakat rendam-rendam kaki ajelah jawabnya.





Dah bertahun-tahun tuu. Bila ditanya Rinn boleh berenang ke? Ha ha ha...entah, tak tau nak jawab apa. Yang pastinya tak yakin dah sama ada Rinn masih boleh timbul lagi. Hubby dan anak-anak dah tak larat ajak dan semawa. Ternyata fobia takut air itu dah mula bersarang kembali. Nak buat macam mana kan. Dah asal-asalnya memang takut air.





Walaubagaimanapun, keinginan untuk kembali boleh berenang itu tetap ada. Siapa tak seronok boleh menyusur dalam air. Sangat suka tengok hubby berenang. Bagi Rinn dia ada ciri-ciri seorang perenang yang hebat walaupun tak ada peluang untuk bertanding. Anak bujang kami pun pernah kami masukkan dalam kelas renang tapi lambat sikit perkembangannya. Di akhiran course Ken bolehlah berenang. Nak berlatih pun manalah rumah kami ada pool. Setakat tunggu masa bila kami ada peluang bercuti dan dapat menggunakan kemudahan kolam renang hotel. Dari masa ke semasa hubby melatih Ken, akhirnya Ken pun dah sepandai ayahnya.......cuma masih belum bisa menandingi. Tengoklah satu hari nanti.





Ehh sekarang Rinn dah berani-beranikan diri untuk kembali berenang tau. Fobia tetap ada tapi setiap kali tetap berusaha untuk mengenepikan perasaan itu. Rupanya masih boleh cuma perlu diasah semula. Setakat kolam renang ajelah. Kalau kena terjatuh ke dalam laut, mampuih Rinn terkapai-kapai jugak bukan sebab tak reti nak berenang tapi sebab panik yang lebih. Bila dah panik, semuanya kita lupa. Rinn lebih berani jika disuruh buat flying fox, bungee jump atau jika diberi peluang untuk berpayung terjun. Boleh gituuu ????? Panjat pokok pun ok kot.






Oh ya, beautiful lady ala-ala Arab dalam gambar di atas tu adalah seorang wanita Algeria yang sempat kami berkenalan masa kami di Al's Hut. Nama dia Waheeba.Dia berendam tak keluar-keluar sebab malu dia pakai bikini. She's a Muslim. Kalau kat tempat dia memang dilarang wanita-wanita Muslim berbikini. Maksudnya kalau nak turun pool kenalah dengan proper muslimah swimming attire. So, kat situ tu dia lepas geramlah kot gamaknya. Dah kawin dan suami dia pun ada sama. Kahwin sepupu sendiri. Memang adat orang Algeria. Lebih digalakkan berkahwin dengan saudara terdekat. Rasionalnya supaya lebih dekat ikatan kekeluargaan, supaya harta benda dan rahsia keluarga masih berada dalam lingkungan keluarga sendiri dan tidak ada campurtangan orang lain yang langsung tiada pertalian darah. Macam tu pun ada ya. Macam agak bertentangan dengan yang disarankan oleh Islam agar kita berkahwin dengan orang yang lebih jauh dan tiada pertalian darah. Bila begitu pertembungan genetik yang berbeza mungkin bakal memberikan zuriat yang lebih bijak dan tidak sempit minda. Wallaualam.






Lepas gerimis tadi turun juga hujan beberapa minit. Sempatlah pokok-pokok minum. Basahlah sedikit permukaan bumi. Dinginlah sebentar suasana di luar rumah. Biarpun sedikit tetap disyukuri kerana kalau terlebih banyak banjir pulak nanti. Negara-negara barat serba maju dan moden macam Amerika dan Australia baru-baru ini pun dilanda banjir dan banjir lumpur yang dahsyat. Beribu nyawa terkorban. Harta benda rosak teruk. Kehidupan pun dah jadi pincang sementara keadaan akan kembali pulih. Bukan sehari dua punya cerita untuk kembali ke keadaan sedia kala. Kat tempat kita pun masih ada musibah ini terutama di kawasan utara dan pantai timur Semenanjung.

Orait lah. Sebelum melabuh tirai nak share salah satu resipi mudah kegemaran puteri sulung Rinn. Lobak masin dgn telur. Along fiena memang suka apa saja yang masin. Ikan masin tuuu usah ceritalah. Sayur kailan ikan masin, nasi goreng ikan masin, lobak masin...kalau boleh segala-gala yang ada masin tentu akan jadi favourite dia. Nak kena darah tinggi apa anak dara aku ni ??? Agaknya lah kan..mungkin sebab masa Rinn mengandungkan dia dulu Rinn suka makan ikan masin. Bukan suka sangat pun, cuma masa tu tak boleh nak makan lauk lain. Almost everyday makan lauk ikan masin dengan kicap yang digaul dengan hirisan bawang merah dan cili api, kemudian diperahkan jus limau kasturi. Pelik tapi sedap pada waktu itu.





SCRAMBLED EGG LOBAK MASIN
BAHAN-BAHAN:

Segenggam Lobak masin cincang
1 biji bawang besar
2 ulas bawang ptuihawang putih
3 biji cili api
Segenggam udang kering
5 biji telur
Secubit lada hitam kisar kasar
Seidkit minyak masak utk menumis
* Sukatan bahan-bahan boleh disesuaikan ikut citarasa masing-masing. Tidak perlukan garam kerana lobak masin akan mencetuskan kemasinan yang sewajarnya.

Hiris bawang besar, bawang putih dan cili padi. basuh dan rendam seketika udang kering, kemudian cincang halus. Tumis semua bahan-bahan hiris tadi hingga agak layu. Masukkan lobak masin. Kacau rata. Pecahkan telur ke dalam tumisan. Kacau-kacau hingga kelihatan seperti scrambled eggs. Tabur lada hitam kasar.




Selamat mencuba dan semoga hari-hari kita seterusnya akan terus dilimpahi rahmat dan keberkatan dari yang Maha Esa. Amin.



Saturday, 15-Jan-2011 11:43 Email | Share | | Bookmark
CHOCOLATE BLUEBERRY CUPCAKES

 
 
 
View all 13 photos...
Salam sejahtera Rinn iringi hujung minggu anda. Sekolah baru sahaja dibuka dalam dua minggu setelah bercuti panjang. Tup tup dek kerana Hari Keputeraan Sultan Kedah jatuh pada hari Ahad di pertengahan bulan Januari ini, semua penjawat awam dan sekolah turut dianugerahkan cuti. Anak-anak cuti lagi berderet selama tiga hari. Riuh kembalilah rumah buat seketika. Dear hubby masih di luar daerah meneruskan misi kerja. Tak de cuti-cuti melainkan cuti yang direka sendiri.





Anak-anak sentiasa berpergian dan berbalikan dari asrama. Begitu juga suami. Mujur Rinn sanggup mengorbankan diri menjadi penunggu yang setia di rumah merangkap tukang supir anak-anak. Alhamdulillah, pilihan untuk tidak menerima tawaran MRSM yang jauh-jauh itu memudahkan pergerakan Rinn kerana anak-anak belajar di kawasan berdekatan. Kalau Rinn pun tak mau kalah dan nak jadi hebat juga sebagai wanita berkerjaya Rinn tak berani jamin yang rumahtangga dan anak-anak akan berada pada orbit yang betul. Tapi sempatlah jugak merasa gaji sendiri selama lebihkurang sepuluh tahun. Makan gaji. Hubby dulu-dulu pun makan gaji juga. Tetapi bila keinginan mengatasi keperluan yang biasa, dia tinggalkan dunia makan gajinya untuk menyahut cabaran diri sendiri yang lebih teruja untuk meneroka dunia perniagaan. Bukannya jawatan tak besar atau gaji tak banyak tapi mungkin tak mencapai kepuasan peribadi. Kerja pastinya lebih mencabar dan tuntutan waktu kerja pun tak sama macam orang yang punch card. Keberadaannya sentiasa menjadi tandatanya di kalangan teman-teman dan adik-beradik. Macam "chipsmore" ya, "kejap ada kejap tak ada". Yang selalunya, "kejap ada lama tak ada" ha ha ha. Lantaran itu, Rinn terpaksa mengalah dan menyerahkan 8 to 6 Rinn kepadanya.





Yang lawaknya sampai anak-anak pun kekadang keliru dan tak pasti sama ada ayah mereka sebenarnya berada di dalam kawasan atau di luar kawasan. Terutamanya tiga orang anak-anak yang berada di asrama. Mereka tak boleh bawa hp ke asrama kecuali Along sebab dia berada di asrama kolej. Hakikatnya ayah memang selalu berada di luar kawasan macam handphone tak ada liputan. Mujur juga suami bukan jenis yang buta komunikasi. Ada handphone maksudnya ujud komunikasi selain internet. Dulu sering ber"skype" tetapi setelah ujudnya "BBM", kami lebih selesa ber"chating" menerusi "BBM". Boleh mobile. Tak perlu melekat depan PC atau usung laptop merata-rata. Memang dunia komunikasi kini tiada batasannya. Hebat. Bak kata orang putih, "always stay connected" tak kira dimana pun anda berada.

Bayangkan zaman tok nenek kita dulu, hanya surat menjadi penghubung. Telefon hanya bagi yang mampu. Telefon awam pun boleh dibilang dengan jari. Silap-silap kena kayuh basikal berbatu-batu baru jumpa telefon awam. Nak tulis dan pos surat pun berhari-hari baru sampai. Hari-hari tunggu posmen depan muka pintu. Apatah lagi nak menunggu balasan, terpaksa makan hari jugak. Silap-silap haribulan boleh tergugat perhubungan akibat kelewatan menjawab surat. Sekarang ni tak ada alasan untuk itu semua. Rinn terpaksa berterima kasih kepada kecanggihan teknologi kini. Tak pernah gagal untuk membuat kami suami isteri dan anak beranak kekal berhubungan. Apatah lagi di kala kami jauh dari pandangan mata masing-masing.





Ramai pernah kehairan terutama kawan-kawan, bertanya bagaimana Rinn boleh bertahan dengan kerja suami yang sentiasa berpergian. Pada mulanya bila terpaksa berhadapan dengan situasi di mana selalu ditinggal dan terpaksa urus rumahtangga sendiri agak janggal juga. Rasa handicapped pun ada. Jengkel pun muncul juga sekali-sekala. Tapi bak kata orang, alah bisa tegal dek biasa. Lama-kelamaan bila dah terbiasa, itu semua bukan masalah besar lagi. Mungkin itu lah antara rahsia kami, sentiasa berhubungan walaupun sekadar untuk mengucapkan salam dan bertanya sedang buat apa di sana. Dari seringkas-ringkas pertanyaan hinggalah ke perbincangan yang betul-betul serius, boleh sahaja dilakukan menerusi telefon bimbit. Selagi ada liputan, InsyaAllah tidak terputus hubungan. Jangan jadikan masalah jika berjauhan.

Pucuk pangkalnya masih ada kepercayaan dan kesetiaan. Bukannya tak pernah ditebak soalan-soalan cepumas lantaran si nakhoda selalu berpergian. Adatlah kan. Siapa lagi yang nak menduga isi hati kita kalau tak orang-orang sekeliling yang terlebih menjaga tepi kain orang sedangkan kain sendiri dah robek masih tak perasan. Biarlah kan. Asalkan kita dan pasangan kita saling percaya mempercayai dan masih ada kejujuran serta keikhlasan terhadap hubungan yang sedia terbina, syukurlah. Jadi jangan take for granted, walaupun si isteri duduk di rumah, yang berpergian itu jangan pula menjadikan kerja sebagai alasan untuk mengelat di luar rumah. Sebagai orang perempuan pun kita tak seharusnya cepat melatah sekiranya ada angin sepoi-sepoi bahasa membawa berita yang kurang enak melintas cuping telinga kita. Jangan mudah percaya selagi tiada bukti. Bukan terus melenting tak tentu pasal. Siasat dulu walau dalam hati dah ujud keraguan. Tak salah kita ragu dan cemburu asal tidak membabi buta.





Sesetengah orang suka mengambil kesempatan di atas pengorbanan orang rumahnya. Sambil menyelam minum air, sambil minum air tangkap ikan, sambil tangkap ikan cekup ikan duyung. Tak semua tapi masih ujud golongan yang begitu. Nak kata tak percaya pun tak boleh jugak. Terlalu banyak kisah di celah-celah kehidupan yang dihidangkan di dada-dada akhbar dan majalah. Semua itu adalah realiti kehidupan walaupun mungkin ceritanya telah ditokok tambah untuk menyedapkan jalan cerita. Lebih sensasi kot. Dan kebanyakan mangsa adalah isteri dan anak-anak. Tak kiralah mereka itu dari golongan atasan yang mewah atau golongan biasa yang sekadar cukup makan. Nampak sangat institusi kekeluargaan masa kini semakin hari semakin rapuh. Mak bapak bercerai-berai, anak-anak terbiar tanpa perhatian sewajarnya walaupun usia perkahwinan masih muda. Turun naik mahkamah macam dah turun naik supermarket.

Mungkin malas dah nak memikirkan masalah hidup berpasangan. Wanita sekarang pun tak kurang yang berpendidikan tinggi, berkerjaya hebat dan mempunyai kehidupan yang agak stabil dari segi ekonomi. Dah tak kisah dengan title Janda atau Andalusia asalkan bahagia. Kehadiran seseorang sebagai pelengkap hidup mungkin cuma dianggap sebagai bonus sekirannya kehidupan bahagia. Jika sebaliknya, tak nampak dah jalan lain kecuali bercerai. Membesarkan anak-anak sebagai ibu tunggal sudah tidak dianggap asing.





Kawan-kawan kami pun ramai yang membina lebih dari satu perkahwinan. Biasanya berumah satu, banyak juga yang berumah dua, berumah tiga pun ada, cuma belum kedengaran yang berumah empat. Tak perlu rasanya dibongkar satu persatu kerana semua orang tahu asam garam hidup berumahtangga. Kalau tak bahagia, menderitalah jawabnya. Kalau bahagia syukur kepada yang Maha Esa. Orang yang di rumah pun kenalah sedar diri juga. Tak kiralah sama ada kita itu bekerja atau surirumah sepenuh masa. Bagi yang bekerja kita juga masih seorang surirumah tangga. Yang tak bekerja di pejabat atau di kilang pun masih juga dianggap bekerja walaupun tidak bergaji kerana kita tidak terima slip gaji. Jangan tak percaya kalau ramai yang setuju jadi surirumah pun sama penat macam orang yang berkerjaya. Bezanya mungkin dunia surirumah lebih terhad kerana rumah itu adalah dunianya. Kecualilah kalau kita tu celik IT, boleh lah juga berinternet, berblogging atau facebooking. Bagi yang bekerjaya, sekurang-kurangnya anda masih punya waktu senggang dan menjadikan kerja itu sebagai escapism untuk melupakan sebentar kerenah rumahtangga dan anak-anak. Terutamanya kalau anak-anak masih kecil. Haahhh..boleh tension kalau tak bijak menangani. Pun begitu, kepada si surirumah masih perlu bersyukur sekurang-kurangnya anak-anak membesar depan mata kita, makan minum air tangan kita, kain baju urusan kita, pergi baliknya di lingkungan pengetahuan kita.

Kesiankan bila setiap hari kita dihidangkan dengan berita-berita dan kisah-kisah penderaan mental dan fizikal anak-anak kecil yang tak mengerti apa-apa. Tak ketinggalan juga anak-anak besar yang mungkin agak mengerti tapi tetap jadi mangsa dan habuan. Yang suka-suka nak jadi mangsa pun tak kurang juga. Macam mana tuu...??? Tanggunjawab kita lah sebenarnya untuk memantau gerak-geri anak-anak kita. Ikutlah cara masing-masing yang difikirkan sesuai. Untuk kembali ke alam pekerjaan bukanlah keutamaannya sekarang. Sekiranya gesaan itu muncul sekalipun tidak akan pernah terlintas untuk mencari "bibik" bagi mengurus anak-anak dan rumahtangga. Alahaaaaiiii tak sanggup rasanya bila ada orang asing di dalam rumahtangga kita walaupun statusnya hanya sebagai pembantu. Pembantu pun manusia juga. Tak berani lah nak ambik risiko. Biarlah kita jadi "superwoman" asalkan hati senang. Sekurang-kurangnya tak payah nak pikir pasal pejabat dan bibik. Lainlah kalau dah terpaksa dan tak punya pilihan lain yang lebih baik, masih boleh berharap dapat pembantu yang boleh "membantu" bukan menambah beban. Nasib masing-masinglah kan. Kita rancang, Tuhan tentukan.






Apa-apa pun segala-gala bermula di rumah. Elok sarangnya eloklah isi sarangnya, InsyaAllah. Aaahh tetapi itu pun belum cukup untuk menjamin kesempurnaan. Yang mak bapak orang kuat beragama pun tak tentu anak-anak akan turut begitu. Bak kata Raihan, iman itu bukan sesuatu yang kita warisi. Kita hanya berupaya memberi didikan dan asuhan, Selebihnya bergantung kepada jatidiri anak-anak itu sendiri kerana pengaruh sekeliling dan kawan-kawan memainkan peranan yang amat besar pada perkembangan hidup mereka. Perkara yang sebaliknya berlaku pun ada juga. Mak bapak yang haru-biru dan porak poranda tetapi anak-anak elok pula jadinya. Terpulanglah bagaimana kita nak merencanakan perjalanan hidup kita. Selebihnya kita berusaha, berdoa dan tawakkal kepada yang Maha Esa. Tinggal dulu buat kali ini. Rinn sentiasa mendoakan agar kita sentiasa berada di dalam lindungan Allah SWT, Amin. Ceria-ceria selalu ya..

Kalau ada masa jangan lupa hidangkan mereka yang dikasihi dengan hasil air tangan sendiri. Jom cuba sesuatu yang begini. Hasil olahan daripada resipi Chocolate Cupcakes yang biasa Rinn guna.






CHOCOLATE BLUEBERRY CUPCAKES
BAHAN-BAHAN:
150gm butter
200gm gula castor
3 butir telur gred A
220gm tepung gandum
3 tbs serbuk koko
1 tsp baking powder
200ml susu segar
Cooking chocolate bar secukupnya, dipotong kiub
Blueberry filling secukupnya

CARA-CARA:
1. Ayak tepung, baking powder dan serbuk koko bersama. Ketepikan.
2. Putar butter dan gula hingga kembang dan gebu.
3. Masukkan telur satu demi satu. Putar terus hingga rata.
4. Perlahankan putaran mixer. Masukkan adunan tepung diselang-seli dengan susu segar. Mesti diakhiri dengan tepung.
5. Isikan adunan ke dalam paperliners. Sudukan blueberry di tengah-tengah adunan dan cucukkan kiub cooking chocolate di atasnya. Bakar pada suhu 180 darjah cel selama 15min-20min.





Wednesday, 5-Jan-2011 08:58 Email | Share | | Bookmark
SELAMAT TINGGAL 2010, SALAM SEJAHTERA 2011

 
 
 
View all 11 photos...



Debaran menanti keputusan PMR dah berakhir, bola sepak pun dah menang, cuti sekolah pun dah beberapa hari berlalu..melangkah sudah kita ke tahun baru 2011. Hari pertama Marisa kembali ke sekolah membawa pulang kerja sekolah. Terpaksa Rinn tegur dan perbetulkan kesilapan Marisa menulis tahun pada buku latihannya. Masih ditulisnya 2010. Agaknya masih terbiasa dengan deretan angka itu. Hari kedua pun berlaku perkara yang sama. Masih 2010. Tak pe lah.. tara nak biasa dengan angka 2011.

Bukan nak kata anak-anak kecil ini, kita yang dewasa ni pun ada kalanya terbuat perkara yang sama. Bila tiba soal hari dan tarikh mesti kena tanya orang sekeliling dulu. Nak confirm hari dan tarikh sebab sendiri pun dah tak ingat. Kat jam tangan ada tertera tarikh tapi terlalu kecil untuk dilihat oleh sepasang mata yang sudah rabun dekat ini. Itu merujuk kepada diri Rinn juga. Tulisan halus-halus ni memang dah jadik alergi. Tak nampak !!!





Macam mana tahun baru ni ?? Sibuk sebenarnya semua orang. Bukan di tahun baru sahaja. Sedari hujung tahun tempoh hari tu pun semua orang sibuk. Apa lagi bila berbicara soal persiapan anak-anak kembali ke sekolah dan ke IPT. Beli-belah berulang kali pun macam tak sudah-sudah. Sampai melangkaui senarai pun ada. Ayah tukang carik duit, mak tukang belanja duit. Betul lah tuuu dalam kes Rinn sekeluarga... sebab si ayah seorang sahaja yang carik duit. Soal urusan rumahtangga tentulah si emak kena laksanakan. Bab-bab membeli dan belah (berbayar ya... ) ni memang kerja Rinn. Tak ramai ayah-ayah yang rela hati nak berlama-lama di kedai atau pusat membeli-belah. Kalau ada pun macam rela dalam paksa. Tak ape lah...ikut situasi masing-masing. Yang penting saling faham memahami peranan masing-masing dan anak-anak selamat kembali ke sekolah dengan bergayanya. Iye lah...segala-galanya hampir serba baru !! Kalau pun tak baru beli, sekurang-kurangnya baru dibasuh pakaian yang sedia ada, dinila, disterika kemas dan digantung...naahhhh semuanya jadi elok semula.





Anak-anak Rinn pun tak semuanya dibelikan baru. Mana yang masih boleh diguna dan dipakai, akan terus anak-anak gunapakai sampai habis atau lusuh. Itu pun habis beribu jugak. Almaklumlah bukan seorang yang sekolah, lima orang tuuu. Selain itu, walaupun tahun 2011 ini tiada yang akan menghadapi peperksaan besar namun tak semestinya kita membiarkan anak-anak honeymoon di sekolah dan di rumah. Tumpuan terhadap pelajaran tetap sama sahaja. Mungkin boleh kita projekkan perkara lain untuk mereka bagi menyempurnakan lagi sahsiah diri.









Tahun 2010 meninggalkan banyak kenangan pahit manis. Mungkin agak panjang untuk diceritakan sekaligus. Mungkin juga tidak patut untuk dikongsi bersama. Apa pun kami sekeluarga tetap gembira kerana di akhirannya terungkap kegembiraan dan kebahagiaan bagi banyak perkara. Sepanjang tahun lalu kurang kerap kami menghabiskan masa bercuti walaupun di tempat-tempat terdekat. Hubby sememangnya sibuk dengan peluang terbaru dalam dunia kerjanya yang InsyaAllah akan menjana rezeki baru buat keluarga kami. Rinn dan anak-anak pun faham. Tapi itu tak bermakna kami saling tidak mempedulikan antara satu sama lain. Kecanggihan IT memang tidak pernah mengecewakan. Apa saja wadah komunikasi terkini pasti akan kami gunapakai untuk komunikasi kami sekeluarga. Walaupun bertemu cuma untuk sekelumit waktu, tetap kami cuba untuk menjadikannya sesuatu yang berkualiti. Jadi tak timbullah soal langsung tak ada masa untuk keluarga. Yang hari-hari duduk bersama, berlanggar bahu dan tak pernah berpisah pun adakalanya lebih mendatangkan mudarat kalau tak pandai memanfaatkannya.





Betul-betul pada penghujung tahun 2010 barulah hubby melepaskan diri buat seketika daripada kekangan waktu kerja, untuk dihabiskan masa bersama-sama kami anak-beranak. Alhamdulillah, masa dimanfaatkan dengan sehabis baik. Rinn kongsikan bersama beberapa keping gambar semasa cuti sekolah yang lalu di Songkla. Acik Alya dan Ken sangat suka naik sampan kayuh kaki ni. Bila nampak menatang tu terus mintak kat ayah nak naik. Marisa pun teringin tapi apakan daya tak cukup inci kakinya tuuu. Kesiannnnnnn. Lain tahun ya Marisa, bila kaki dah sampai ke pengayuh. Mujur di tasik itu penuh dengan ikan yang sentiasa lapar. Boleh juga jadi bahan perhatian. Nak beli makanan dan bagi pun tak ada larangan. Pantang ada benda tercampak dan dicampak..mesti ikan-ikan tu datang mengerumun. Lagaknya macam ikan piranha. Agaknyalah, kalau ada anak orang terjatuh ke dalam tasik tu, ada tak ikan-ikan tu akan kerumun? Anda sanggup?





Ayah dah tugaskan Along Fiena jadik photographer, sebab tu tak banyak gambar Along. Dia pun tak berapa nak difoto kerana di pipinya ada jerawat yang tak menyeronokkan ha ha ha... Nantilah kita cuba selitkan juga sekeping dua. Enjoy..!!!






[<<  <  1  [2]  3  4  5  6  7  8  9  10  11  12  13  14  15  >  >>]    [Archive]

© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net